MANCHESTER – Manchester United dijangka menerima tawaran luar biasa daripada kelab gergasi Arab Saudi, Al Hilal yang sanggup memecahkan rekod perpindahan Britain untuk mendapatkan kapten mereka, Bruno Fernandes.
Menurut laporan, Al Hilal sedia mengemukakan bidaan lebih £115 juta (RM648 juta) iaitu mengatasi rekod perpindahan Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika Chelsea mendapatkan khidmat Moises Caicedo dari Brighton tahun lalu.
Lebih mengejutkan, laporan mendedahkan pemain tengah Portugal itu turut ditawarkan gaji sekitar £65 juta (RM366 juta) semusim untuk kontrak tiga tahun di kelab timur tengah itu.
“Fernandes belum memberikan jawapan, tetapi Al Hilal sudah pun menyiapkan dana berkenaan. United pula tidak mahu jual, namun tawaran ini dijangka benar-benar menguji keazaman mereka mengekalkan pemain itu,” menurut sumber.
Fernandes sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Arab Saudi pada tahun lalu, tetapi memilih kekal dan menandatangani kontrak baharu sehingga 2027 bersama The Red Devils.
Namun, situasi kewangan United yang perlu menjual pemain bagi membina semula skuad membuka ruang untuk kelab kaya dari Saudi mengatur langkah besar menjelang jendela perpindahan musim panas.
Dalam perkembangan lain, hasrat United untuk mendapatkan Victor Osimhen dari Napoli mungkin tidak kesampaian apabila Galatasaray dikatakan hampir mendapatkan penyerang itu secara kekal.
Osimhen yang dipinjamkan ke kelab Turki itu musim ini meledak 33 gol dalam semua kejohanan sekali gus meyakinkan pengurusan Galatasaray untuk membayar klausa pembelian tetap bernilai £56 juta (RM315 juta). – AGENSI