KUANTAN – Terperdaya dengan janji komisen sehingga 18 peratus bagi setiap kerja dalam talian yang diberikan menyebabkan seorang lelaki warga emas berputih mata apabila mengalami kerugian kira-kira RM1.2 juta.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula pada Januari lalu selepas mangsa yang merupakan bekas peniaga perabot berumur 62 tahun mengenali suspek yang merupakan broker rumah dari Singapura.
“Suspek ada membuat satu perniagaan dalam talian daripada satu platform berasal dari England dan memberikan satu laman web yang menawarkan mangsa menyertai kerja dalam talian dengan dijanjikan komisen antara 13 peratus hingga 18 peratus.
“Pada 20 Februari lalu mangsa telah menerima pesanan daripada suspek dan kemudian berhubung melalui WhatsApp,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, suspek kemudiannya mengajar mangsa cara untuk menggunakan platform tersebut dan mangsa diminta mengaktifkan akaunnya terlebih dahulu.
Katanya, suspek kemudiannya menyatakan bagi mengaktifkan akaunnya, mangsa perlu memberikan maklumat peribadi mangsa melalui WhatsApp.
“Mangsa hanya pernah mendapat satu kali komisen berjumlah RM800 bagi kerja yang dilakukan dan mangsa diminta membuat lain-lain bayaran dan disebabkan mangsa lewat membayar akaun mangsa disekat di platform tersebut,” katanya.
Sehubungan itu katanya, mangsa telah membuat 61 kali transaksi ke dalam 14 akaun berbeza.
Katanya, selepas pindahan wang dilakukan mangsa melihat laman web tersebut bagi mengeluarkan wang, namun pelbagai alasan diberikan suspek yang masih meminta wang daripada mangsa.
Dalam pada itu katanya berdasarkan siasatan awal mendapati mangsa disyaki ditipu dan mengalami kerugian RM1,229,754 melibatkan wang simpanan dan pinjaman dilakukan mangsa.
“Pihak Polis Kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada sebelum memasukkan wang ke dalam akaun individu yang tidak dikenali.
“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE