fbpx
Kiri: Ikan tenggiri bonus yang diperoleh Sam menjadi pelengkap spesies ikan pemangsa pada trip ini.

K2

Mengilat gewang di pinggiran pulau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kunjungan rakan dari Johor Bahru diketuai Ricky dengan hasrat mengilat di pinggiran pulau direalisasikan dan berakhir dengan terpahatnya satu memori indah buat mereka. Sasaran seperti ikan gerepoh atau giant trevally (GT), kerapu pisang dan tenggiri muncul seperti yang dihajatkan.

Set-up asas
Penggunaan kekili jenis spinning diperlukan untuk membuat balingan pantas dan mengurangkan masalah kekusutan tali apabila perlu melontar gewang dari semua arah tiupan angin.

Selain itu, sistem tegangan kekili jenis ini mampu diketatkan pada tahap maksimum bagi mengekang tujahan padu ikan sasaran.

Namun begitu, boleh juga menggunakan kekili jenis menegak (baitcaster) bagi yang mahir.

Kemahiran yang tinggi amat diperlukan bagi mengurangkan risiko ‘mihun’ memandangkan perlu membuat lontaran jauh dan kadangkala lontaran perlu melawan angin.

Nisbah putaran (ratio gear) yang tinggi perlu digunakan bagi memastikan karauan laju dapat dilakukan tanpa terlalu penat.

Oleh itu, gewang yang digunakan juga perlu stabil dan mempunyai bibir selaman cetek supaya tidak terlalu menjadi beban pada sistem gear.

Joran yang panjang dan beraksi pantas (fast action) perlu digunakan bagi membolehkan gewang dilontar jauh dan meningkatkan peratus tancapan mata kail, selain penting bagi mengawal ‘larian’ ikan.

Sambaran di tepi pulau
Kehadiran kami nampaknya memang dialu-alukan penghuni pulau ini. Dengan hanya beberapa kali balingan, Howard mendapat sambaran dari tepi pulau dan berhasil mendaratkan ikan sasaran iaitu gerepoh bersaiz kecil atau dikenali baby GT.

Selang beberapa ketika, dia sekali lagi mendapat sambaran spesies yang sama setelah saya mengulangi lokasi tersebut.

Dia cemerlang pada awal pagi dengan tiga ekor GT di lokasi yang sama. Setelah berpindah ke pulau seterusnya, beberapa ekor GT berjaya diperolehi, sekali gus menaikkan semangat semua ahli trip.

Kerapu pisang
Selain ikan GT yang sering mendominasi tubir batuan pulau, ikan kerapu pisang juga merupakan ikan pemangsa yang sering diperolehi ketika melakukan aktiviti mengilat.

Kawasan ikan ini kebiasaannya berada jauh sedikit dari batu tinggi dan mempunyai dasar sedikit berpasir. Jika terlihat ada kawasan pasir berhampiran batu karang, saya akan sarankan supaya pemancing melontarkan gewang ke arahnya dan membuat karauan sederhana laju. Warna ikan ini biasanya berubah mengikut lokasi. Jika berada di kawasan cetek, warnanya sedikit gelap berbanding yang menginap di kawasan lebih dalam dengan warnanya cerah kemerahan.

Dalam trip ini, kami memperoleh tiga ekor kerapu pisang, dua daripadanya menggunakan gewang dan seekor lagi dengan jig.

Perlawanan ketika memancing di pinggiran pulau sedikit kuat kerana jika terlambat akan menyebabkan pemancing berputih mata.

Tenggiri pulau
Sebenarnya pemancing perlu juga melontar gewang ke arah luar dari kawasan pulau sepanjang bot berhanyut. Ini kerana, ada juga ikan pemangsa lain yang merapat ke pulau.

Memandangkan waktu terbaik mengilat adalah ketika air bergerak pasang. Ikan pemangsa seperti tenggiri, jemuduk dan sagai akan masuk ke kawasan berhampiran pulau untuk mencari mangsa.

Sering berada di haluan bot, Sam mempunyai radius lontaran gewang yang lebih luas.

Dia kerap juga me­lontar gewang ke arah luar tebing pulau iaitu di kawasan terletaknya juram.

Gewang dibiarkan tenggelam lebih lama sebelum dikarau laju. Satu sergapan garang diterima dan tali ‘muntah’ keluar dari kekili Shimano Antares DC yang digunakan tanpa henti. Perlawanan yang agak lama memberi kemenangan kepada Sam dengan terdamparnya seekor ikan bonus iaitu tenggiri bersaiz tujuh kilogram (kg).

Sungai dalam pulau
Pada waktu tengah hari, saya mengambil sedikit masa untuk menyusuri sebatang sungai di sebuah pulau berhampiran. Memandangkan waktu itu air pasang besar, saya mengambil peluang untuk masuk dan menguji penghuni sungai ini.

Ini kerana pada waktu air surut, muara sungai hanya boleh dilalui oleh bot kecil. Sasaran utama addalah ikan kerapu dan siakap merah. Namun pada kunjungan kali ini, tiada spesies tersebut didaratkan, sebaliknya beberapa ekor ikan kacang sahaja sudi menyambar gewang.

Gewang tersangkut
Kejadian gewang tersangkut di batu karang memang kerap berlaku dan pemancing perlu untuk mengagak kiraan gewang tenggelam sebelum sampai ke dasar. Kebiasaannya, saya akan meminta mereka membuat kiraan antara tiga hingga lima saat sebelum memulakan karauan.

Namun, ada ketika gewang terus melekat di atas batu karang akibat air yang terlalu cetek. Saya sentiasa berpesan kepada pemancing supaya tidak menyentak joran dengan kuat jika tersangkut bagi mengelak mata kail tertancap semakin dalam.

Jika tersangkut, jangan risau kerana bot boleh menghala ke tempat sangkut dan melepaskan gewang tersebut. Sebab itu perlu menggunakan perambut dan tali utama yang kasar, sekurang-kurangnya 40 paun (lb) bagi mengurangkan kerugian akibat kehilangan gewang mahal.

Kesimpulan
Kepulauan Penyabong sememangnya antara lokasi terbaik untuk mengilat gewang. Antara pulau-pulau yang boleh diduga adalah Pulau Acheh, Pulau Layak, Pulau Tunus dan Pulau Tokong Burung.

Kepulauan ini cantik tidak jemu mata memandang serta ikan yang boleh dikatakan sentiasa ada menyebabkan peningkatan kehadiran pemancing saban tahun.

Perairan Penyabong juga merupakan hentian bagi pelbagai jenis ikan daripada keluarga trevally seperti GT, ebek, sagai dan gerong belang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN