BATU GAJAH – Seramai 61 pekerja termasuk enam warga tempatan yang tidak menerima gaji selama lima bulan diselamatkan dalam serbuan di sebuah kilang perabot di Kawasan Perindustrian Pengkalan 2 dekat Pusing hari ini.
Serbuan bersepadu itu dijalankan oleh Jabatan Tenaga Kerja Negeri Perak (JTKNP) bersama Polis Perak dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), yang turut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun yang juga pengurus merangkap pengarah urusan syarikat berkenaan.
Op Pintas Mega Pemerdagangan Orang itu membabitkan penyertaan kira-kira 96 pegawai penguatkuasa terdiri daripada 83 anggota polis, 10 pegawai JTKNP dan tiga wakil JAS.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, mangsa yang diselamatkan terdiri daripada 55 warga asing iaitu 14 lelaki Myanmar, sembilan lelaki Nepal dan 32 lelaki Bangladesh termasuk enam rakyat tempatan terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berbangsa Cina serta seorang wanita Melayu.
“Siasatan awal mendapati semua mangsa telah bekerja tanpa menerima gaji selama lima bulan. Kegagalan majikan membayar gaji menyebabkan mereka terpaksa berhutang untuk perbelanjaan harian.
“Mereka terpaksa berhutang dengan kedai runcit berhampiran untuk perbelanjaan harian seperti makanan.
“Operasi ini merupakan hasil risikan dan maklumat awam yang prihatin terhadap nasib pekerja terbabit,” katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan di sini hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, selain siasatan lanjut mengikut peruntukan Akta Kerja 1955 dan Akta Alam Sekitar berkaitan pengurusan premis dan keselamatan pekerja. – KOSMO! ONLINE