KUALA LUMPUR – Hampir empat tahun menjalani hidup sebagai pasangan jarak jauh (PJJ) bersama suami tercinta, penyanyi Wany Hasrita mengakui masih sakit menahan rindu namun kini lebih cekal dan matang menanganinya.
Ujar Wany atau nama sebenarnya, Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 32, meskipun hakikatnya saling berjauhan bukan perkara mudah, dia sedaya upaya belajar untuk memujuk hati dan bersyukur atas setiap aturan Tuhan.
“Bukan mudah menjalani hubungan jarak jauh, tipulah kalau saya kata tidak sakit menahan rindu. Tapi saya dah terbiasa.
“Semuanya adalah aturan Maha Esa. Kita pujuk hati sebab tahu semua ini bukan demi dunia semata-mata. Ada tanggungjawab, ada pengorbanan yang perlu diberi keutamaan.
“Jadi, untuk soalan PJJ tu, alhamdulillah, saya dah belajar terima,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah pelantun Cinta Khayalan itu lagi, setiap kali mendapat cuti, dia bersama anak perempuan, Aishah Al Iman, pasti akan terbang ke Sarawak untuk bertemu suami, Mohd. Al-Adib Fahmi Harun yang bertugas sebagai juruterbang di sana.
“Bila ada ruang dan masa, saya balik Sarawak. Itu memang rutin saya.
“Tak semestinya aktiviti besar pun. Jalan-jalan pun cukup. Kawasan rumah suami saya luas, ada rumput. Suami suka ‘grounding’ bersama anak dan saya pun ikut. Itu waktu tenang kami,” kongsinya.
Meskipun tampak kuat di luar, Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular ke-31 (ABP31) itu tidak menafikan hatinya tetap sarat doa, berharap agar suatu hari nanti mereka dapat tinggal bersama sebagai satu keluarga lengkap.
“Untuk tinggal bersama itu mestilah ada perancangan malah setiap kali solat, saya doa agar Allah bagi jalan yang baik.
“Rezeki pekerjaan, ruang untuk tinggal bersama, semua itu saya mohon supaya dapat hidup sebumbung dengan suami.
“Namun macam saya cakap tadi, kita percaya kepada ketentuan Tuhan, Dia tahu yang terbaik untuk kita,” tuturnya pada majlis pelancaran lagu Jahat bersama media dan peminat, di sini, semalam.
Untuk rekod, merpati dua sejoli itu mendirikan rumah tangga pada 22 Julai 2022 dan hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata sulung, Aishah yang kini hampir mencecah usia dua tahun.
Dalam perkembangan kerjaya, Wany tampil dengan single terbaharu berjudul Jahat, karya bernuansa emosi yang turut diangkat sebagai lagu tema drama bersiri Pabila Dia Tersenyum dan ditayangkan di platform Viu sejak 24 April lalu.
Lebih istimewa, lagu tersebut menjadi detik kerjasama pertamanya bersama komposer popular Indonesia seperti Audree Dewangga, David Elsandro, Andre Lizt dan Trakast, di bawah terbitan Sony Music Malaysia.
Single Jahat kini boleh didengari dalam semua platform penstriman digital utama seperti Apple Music, Spotify, dan YouTube Music – KOSMO! ONLINE