fbpx

Saya sedia berundur dari Kabinet, tidak bertanding dalam parti – Rafizi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rafizi.

PETALING JAYA – Menteri Ekonomi memaklumkan beliau bersedia melepaskan jawatan dalam Kabinet bagi memberi tumpuan kepada kempen akar umbi dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) kelak.

Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, hasrat tersebut telah disuarakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Malah menurut Rafizi, beliau juga bersedia untuk tidak bertanding Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk sesi 2025-2028.

“Sepanjang saya bercuti, saya juga mengadakan pertemuan empat mata dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Perbincangan dengan Datuk Seri Anwar berlaku dua kali dan sekali dengan Datuk Seri Saifuddin.

“Dalam pertemuan dengan Datuk Seri Anwar, saya mengutarakan pandangan bahawa strategi kempen ke arah Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) perlu diperkemaskan, mengambil kira keadaan semasa rakyat.

“Saya menyatakan bahawa saya bersedia untuk tidak bertanding Timbalan Presiden dan tidak menyertai Kabinet untuk memberi tumpuan kepada kempen akar umbi,” katanya pada satu kenyataan di laman Facebook.

Rafizi berkata, tindakan itu ekoran kebimbangan beliau berkisar kepada keadaan semasa yang melihat kempen kerajaan terlalu bertahan (defensive) dan tidak menyerang (offensive) seperti rentak parti itu semasa menjadi pembangkang.

“Itu kekuatan yang saya ada sebagai seorang ahli politik dan wajar disesuaikan dengan keperluan kempen di masa berbaki dua tahun sebelum PRU-16.

“Kedudukan saya sebagai seorang menteri menyebabkan saya terikat dengan konsensus pentadbiran kerajaan dan menyukarkan saya bersuara dengan lebih bebas, seperti sebelum ini. Ia menyumbang sedikit sebanyak kepada keadaan kempen parti yang dilihat tidak agresif,”katanya.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, beliau turut menyuarakan perkara yang sama kepada Saifuddin dan menyatakan kesediaan untuk memberi laluan agar beliau boleh kembali berkempen secara bebas dan agresif ke arah PRU-16 tanpa perlu terikat kepada peraturan Kabinet dan kerajaan.

“Kedua-dua mereka memberi pandangan bahawa ada keperluan untuk saya kekal bertanding Timbalan Presiden dan menjadi sebahagian daripada Kabinet.

“Saya nyatakan bahawa saya akan mengambil kira semua pandangan dalam membuat keputusan akhir,” ujarnya.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, Timbalan Presiden PKR itu didakwa mengambil cuti panjang sehingga mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan akar umbi parti terutamanya ketika proses Pemilihan Keadilan 2025 sedang berlangsung di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI