SEREMBAN – Terjun dari platform 6.09 meter antara taktik pendatang asing tanpa izin (PATI) meloloskan diri daripada ditahan Ketika serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah tapak pembinaan di Bukit Kepayang, Rasah di sini hari ini.
Pengarah JIM Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, dalam serbuan itu, seramai 130 orang warga asing telah diperiksa dalam Operasi Penguatkuasaan yang dijalankan bermula jam 10.45 pagi.
“Seramai 102 orang PATI yang berumur di antara 13 hingga 55 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah undang-undang Imigresen.
“Jumlah yang ditahan adalah 93 orang lelaki dan sembilan orang wanita. Pecahan warganegara adalah 55 warga Indonesia (46 orang lelaki, sembilan orang wanita), seorang lelaki warga Pakistan, 29 orang lelaki warga Bangladesh, 16 orang lelaki dan seorang kanak-kanak lelaki warga Myanmar.
“Semasa operasi dijalankan, terdapat PATI yang sanggup terjun dari platfrom setinggi 6.09 meter dan ada juga yang bersembunyi dicelah barang binaan untuk meloloskan diri daripada dicekup oleh pasukan operasi. Bagaimanapun, kesemua mereka berjaya dikesan dan ditahan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE