PETALING JAYA – Public Health Malaysia (PHM) mengingatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya melabel diri mengalami masalah mental seperti ‘anxiety’ atau ‘depression’ (kemurungan) hanya kerana berdepan tekanan hidup seketika atau berasa kecewa.
“Penyakit mental bukan trend. Bukan gaya hidup. Bukan ‘escape card’. Ia bukan sesuatu yang ‘cool’ untuk dimiliki,” tegas PHM dalam satu perkongsian di Facebook.
Menurut PHM, penyakit mental adalah kondisi sebenar yang memberi kesan besar terhadap fungsi otak.
“Ia penyakit yang senyap yang melumpuhkan dalam diam,” jelas PHM.
Perkongsian PHM itu turut mengandungi suara hati seorang pesakit mental, yang menggambarkan keperitan sebenar dialami.
“Kalau kau belum pernah rasa takut dengan hari esok yang belum datang…kalau kau belum pernah rasa ‘numb’ tiada emosi walau ditunjukkan benda yang kau paling suka sebelum ini
“Jangan terburu-buru melabel diri. Sungguh demi Tuhan, betapa kami rindu diri yang dulu. Yang boleh ketawa dalam gembira. Yang boleh senyum tanpa paksa.
“Ini bukan luahan untuk meraih simpati. Ini bukan catatan untuk jadi tular. Ini adalah epilog suara hati seorang pesakit mental,” kongsi PHM.
Terdahulu, beberapa pakar kesihatan turut mengingatkan bahawa perbezaan antara tekanan emosi biasa dan penyakit mental kronik perlu difahami dengan jelas bagi mengelakkan stigmatisasi serta salah guna istilah. – KOSMO! ONLINE