fbpx

Pencalonan Tengku Zafrul belum selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TENGKU ZAFRUL

DEBARAN kian terasa untuk melihat individu bakal diangkat sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang baharu menjelang pemilihan badan induk itu pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), Sabtu ini.

Buat masa ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz merupakan individu yang disebut-sebut bakal mengambil alih jawatan tersebut memandangkan beliau adalah calon tunggal.

Bagaimanapun, kedudukannya masih belum selamat kerana perlembagaan BAM tidak menetapkan tarikh tutup pencalonan yang mungkin menyaksikan ada calon lain menawarkan diri untuk bertanding.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, persiapan untuk AGM berjalan lancar selain menjelaskan, nama Tengku Zafrul dicadangkan dan diterima sebulat suara oleh Ahli Majlis badan induk itu.

“Persiapan untuk AGM seperti biasa dijangka bermula pukul 12 tengah hari dan sebelum itu kita ada mesyuarat Ahli Majlis pada pukul 9.30 pagi. Disebabkan perlembagaan BAM tiada had masa untuk pencalonan, maka mana-mana pencalonan masih boleh dikemukakan.

“Setakat kita tahu, Tengku Zafrul adalah calon yang dicadangkan Ahli Majlis secara sah. Kalau ada pencalonan lain, ia akan diputuskan pada hari pemilihan itu,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.

Januari lalu, Presiden Persatuan Badminton Putrajaya (PjBA), Datuk Seri Khairudin Abd. Samad ada menyatakan hasrat untuk bertanding merebut jawatan Presiden BAM, namun tiada pengesahan rasmi dibuat setakat ini.

Sebelum ini, Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam menerusi satu sidang media pada 25 Mac lalu memaklumkan majoriti Ahli Majlis badan induk itu mencapai kata sepakat bagi mencalonkan Tengku Zafrul sebagai presiden menggantikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Tengku Zafrul hampir dilantik sebagai Presiden BAM tahun lalu selepas Norza menyatakan hasrat melepaskan jawatan, namun Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memintanya untuk menangguhkan hasrat itu sehingga tamat Sukan Olimpik Paris 2024.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI