KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Dobi Melayu (Mula) meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengkaji semula larangan penggunaan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi di premis dobi yang bakal memberi impak besar kepada pengusaha kecil dan sederhana.
Pengerusinya, Zarina Ismail berkata, penguatkuasaan Ops Gasak 2025 yang melarang penggunaan LPG di premis dobi, telah mewajibkan penggunaan LPG komersial yang harganya 2.5 kali ganda berbanding LPG bersubsidi.
Menurutnya, peningkatan mendadak kos bahan api tersebut memberi kesan besar terhadap kelangsungan operasi khususnya bagi dobi jenis premis On Premises Laundry (OPL) dan Dobi Layan Diri (Coin Operated Laundry).
“Pengusaha dobi mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tidak memiliki keupayaan kewangan yang sama seperti pengusaha besar untuk menyerap kenaikan kos ini tanpa menaikkan harga servis.
“Hal ini boleh menjejaskan daya saing mereka, malah berpotensi menyebabkan perniagaan tutup jika tiada tindakan penyelarasan yang wajar diambil,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tambahnya, Zarina menyeru agar KPDN mempertimbangkan semula dengan mengambil kira beberapa perkara termasuk potensi kehilangan pendapatan dan pekerjaan.
Katanya, mereka juga memohon pengecualian bersyarat dengan pengusaha dobi PMKS dibenarkan menggunakan LPG bersubsidi dengan pemantauan.
Dalam pada itu, MULA turut mencadang penangguhan tindakan penguatkuasaan ke atas sektor dobi sehingga persetujuan dimuktamadkan dan moratorium selama setahun bagi membolehkan kajian menyeluruh dilaksanakan.
Selain itu, MULA turut menggesa agar bekalan dan harga LPG diseragamkan supaya tidak berlaku penyelewengan dan manipulasi harga. -KOSMO! ONLINE