fbpx

Imigresen tangkap 92 PATI dalam serbuan di tapak pembinaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN warga asing yang ditahan dalam serbuan Op Bersasar oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak di sebuah tapak pembinaan di Bercham, Ipoh hari ini.

IPOH – Seorang wanita warga Indonesia antara 92 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak dalam serbuan di sebuah tapak pembinaan di Bercham, di sini hari ini.

Pengarahnya, James Lee berkata, serbuan melalui Op Bersasar mulai pukul 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu dijalankan oleh sepasukan pegawai daripada Unit Risikan dan Operasi, Bahagian Penguatkuasa JIM Perak.

Katanya, serbuan tersebut dilakukan selepas menerima aduan awam selain hasil daripada pemantauan serta risikan yang dijalankan oleh Unit Risikan dan Operasi.

“Dalam serbuan ini, kita telah memeriksa seramai 141 individu dan hasil pemeriksaan mendapati 92 orang daripadanya merupakan warga asing yang dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Daripada 92 warga asing itu, 66 daripadanya merupakan warga Bangladesh manakala Nepal (9), Myanmar (4), Indonesia (12) dan Pakistan (1). Kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 50 tahun,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, operasi disertai 53 pegawai Imigresen itu berdepan risiko keselamatan ekoran kawasan serbuan merupakan bangunan tinggi yang masih dalam proses pembinaan.

Bahkan, katanya, tindakan warga asing yang cuba menyorok di bilik-bilik kosong dalam bangunan bertingkat itu juga menyukarkan penguat kuasa untuk mengesan mereka.

“Bagaimanapun, kecekapan pegawai penguat kuasa telah mematahkan cubaan mereka untuk melarikan diri sehingga kesemuanya berjaya ditangkap dalam operasi kali ini,” katanya.

Tambahnya, kesemua warga asing tersebut kini ditahan di Depot Imigresen Ipoh bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen1959/63 iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah.

Selain itu katanya, siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 15(1)(c) akta yang sama iaitu tinggal atau berada di Malaysia selepas tamat tempoh pas sah yang dikeluarkan selain kesalahan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang dikeluarkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI