PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad segera meneliti isu-isu yang dibangkitkan pengamal perubatan swasta (GP) susulan pelaksanaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, isu tersebut merupakan antara perkara dibincangkan Jemaah Menteri dengan Perdana Menteri telah mendapatkan penjelasan daripada Dr. Dzulkefly berhubung perkara berkenaan.
“Apa yang dibangkitkan adalah melibatkan penggunaan Akta 723 yang berada di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Ada dalam kalangan doktor (GP) yang bertanya kenapa akta tersebut digunakan dan bukan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586). Jadi, Perdana Menteri telah meminta supaya perkara ini segera dijelaskan,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan, di sini hari ini.
Semalam, kira-kira 200 doktor dan pengamal perubatan berhimpun di Laman Perdana berhampiran Bangunan Perdana Putra bagi menunjukkan bantahan terhadap pelaksanaan Akta 723 yang mewajibkan klinik swasta dan farmasi mempamerkan harga ubat-ubatan.
Kumpulan tersebut mula berhimpun kira-kira pukul 9.30 pagi sebelum 10 daripada peserta diketuai wakil Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr R Thirunavukarasu memasuki Bangunan Perdana Putra untuk menyerahkan dokumen memorandum.
Antara tuntutan komuniti GP itu adalah untuk menyemak semula Akta 723, dengan meletakkan profesion perubatan sepenuhnya di bawah Akta 586 yang dilihat memadai untuk mengawal selia amalan perubatan dan perkhidmatan kesihatan swasta.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata, Jadual Ketujuh dalam Akta 586 yang mengawal selia caj perundingan dan caj tatacara bagi GP di klinik perubatan swasta akan dikaji, dengan Dzulkefly memaklumkan bahawa kertas Jemaah Menteri sedang disiapkan.
“Menteri Kesihatan telah memaklumkan bahawa persiapan kertas Jemaah Menteri telah dibuat dan dalam edaran, jadi kita jangka dalam tempoh satu atau pun dua minggu, hal ini akan dibawa semula ke Jemaah Menteri untuk diputuskan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE