fbpx

‘Saya reda, setakat ini rezeki ayah dengan adik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi kolam terbiar tempat mangsa lemas berdekat Perumahan Penjawat Awam Malaysia Kasturi di Presint 17 di Putrajaya. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR

PUTRAJAYA- Keluarga kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang ditemui lemas dalam kolam takungan terbiar di Presint 17 di sini semalam reda dengan pemergian itu selain menyifatkan arwah sebagai seorang anak yang baik.

Bapa kepada kanak-kanak itu yang enggan mendedahkan namanya berkata, mereka sekeluarga merasai kehilangan anak bongsu daripada tiga beradik itu lebih-lebih lagi arwah merupakan seorang yang peramah dengan orang sekeliling.

“Setakat ini sahaja rezeki ayah dengan adik, ayah reda dengan pemergian ini,” katanya ringkas ketika ditemui Kosmo! di Bilik Forensik Hospital Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, lelaki itu berkata, anak bongsunya merupakan seorang yang mesra dengan orang sekeliling selain disenangi oleh kawan-kawan dan juga jiran di blok perumahan mereka.

“Dia juga seorang yang aktif dan mempunyai karakter sebagai atlet selain sering menghadirkan diri dengan aktiviti kejiranan seperti gemar pergi ke surau,” katanya.

Difahamkan, jenazah kanak-kanak itu iaitu Muhammad Ishraff Islandar dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 Putrajaya petang nanti selepas urusan forensik selesai di Hospital Putrajaya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, mayat kanak-kanak itu ditemui oleh orang awam yang kebetulan melalui lokasi kejadian sebelum menghubungi pihak berkuasa.

Mayat mangsa ditemui dalam kolam berdekatan jejambat Presint 17 menghala Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Kasturi kira-kira pukul 5.12 petang.

Beliau berkata, pemeriksaan telah dijalankan oleh doktor bertugas dan mengesahkan kanak kanak tersebut telah meninggal dunia.

“Proses bedah siasat akan dijalankan di Jabatan Forensik, Hospital Putrajaya sekitar pukul 8 pagi,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI