SEREMBAN – Pantai Port Dickson berpotensi menjadi lokasi pendaratan penyu bertelur namun beberapa perkara penting perlu diambil perhatian dalam memastikan habitat ini kekal sesuai dan selamat untuk reptilia itu.
Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, kaedah yang betul perlu diambil kira dan jika tidak sesuai untuk penyu tersebut ia akan merencatkan proses peneluran terbabit.
“Sebenarnya boleh dikatakan pantai Port Dickson ini sebagai pusat pendaratan penyu bertelur tetapi ia tidak dibuka kepada orang awam.
“Saya akan berbincang dengan Jabatan Perikanan Negeri bagaimana boleh merancakkan lagi kawasan dan lokasi di sepanjang pantai Port Dickson ini dengan digazetkan sebagai kawasan pendaratan penyu untuk bertelur, “katanya pada Program Pemuliharaan Biodiversiti Marine di Pantai Tanjung Biru di sini, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri berkata, perkara itu akan dimuktamadkan dengan Jabatan Perikanan Negeri setelah membuat kajian terperinci mengenai apakah yang boleh dan tidak boleh bagi timbang balik perkara itu.
” Kita tidak mahu nanti penyu-penyu yang mendarat di kawasan perairan Port Dickson terencat dan terganggu semasa melakukan proses peneluran,”ujarnya
Ujar beliau, setakat ini terdapat lapan sarang penyu bertelur ditempatkan di sepanjang pantai Port Dickson dan sebanyak 991 telur penyu telah dieramkan.-KOSMO! ONLINE