BACHOK – Seorang wanita yang menghidap strok berharap Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Agroteknologi) yang diterima anak sulungnya pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kali Ke-14 di UMK Kampus Bachok di sini hari ini mampu mengubah nasib keluarga.
Syakimah Md. Noor, 48, tidak henti-henti mengalirkan air mata dan tidak dapat bercakap banyak berikutan keadaan kesihatannya yang sudah menghidap angin ahmar sejak dua tahun lalu.
Dia yang berkerusi roda ditemani dua lagi anaknya hadir untuk menyaksikan Nor Ainatasya Mohamad Hamizi, 25, menggenggam ijazah itu pada di UMK Kampus Bachok hari ini.
Nor Ainatasya berkata, ibunya memasang impian agar dia menceburi bidang agrikultur kerana ia merupakan salah satu peluang menjana pendapatan agak lumayan jika bijak menguruskannya.
Katanya, justeru, dia berhasrat untuk memiliki kebun pisang dalam usaha memperluaskan pasaran kerepek pisang bagi meneruskan legasi kedua orang tuanya yang mengusahakan sendiri makanan tersebut di rumah.
“Ibu menggalakkan saya menceburi bidang pertanian kerana ia adalah salah satu peluang menjana pendapatan lebih baik.
“Demi memenuhi hasrat ibu dan bapa, Mohamad Hamizi Abdul Majid, 51, saya memohon dalam bidang pengajian ini di UMK sebaik tamat menduduki Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM),” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen UMK Kali Ke-14 di UMK Kampus Bachok di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE