KUANTAN – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM84.7 juta sepanjang tempoh Januari hingga April lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, sebanyak 4,261 kes dengan 4,839 tangkapan direkodkan dalam tempoh berkenaan, berbanding 4,362 kes dan 4,810 tangkapan pada tahun lalu.
Katanya, ia sekali gus mencatatkan peningkatan hampir 10 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Sepanjang tempoh empat bulan itu juga, sebanyak 4,180 kertas siasatan telah dibuka dan 3,753 kes berjaya diselesaikan, iaitu bersamaan 90 peratus kadar penyelesaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini hari ini.
Sementara itu, menurut Yahaya, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang telah membuka 817 kertas siasatan membabitkan kerugian keseluruhan sebanyak RM26.3 juta dalam tempoh sama. – KOSMO! ONLINE