fbpx
Razarudin.

PDRM siasat dakwaan Pamela dilarikan oleh ‘polis’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil maklum tentang dakwaan Datin Seri Pamela Ling Yueh dilarikan individu yang menyamar sebagai polis ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada 9 April lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bagaimanapun berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengenai dakwaan tersebut.

“Kita masih siasat maklumat yang menyatakan mangsa dilarikan individu berpakaian seragam atau ‘vest’ polis.

“Pihak polis masih meneliti sama ada dia (mangsa) dilarikan polis sebenar atau individu yang menyamar polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Razarudin, siasatan turut meliputi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan semua maklumat serta keterangan saksi yang dipanggil termasuk kenyataan pemandu e-hailing yang membawa Pamela sedang dikumpulkan.

Beliau berkata, pihaknya tidak dapat mendedahkan secara terperinci berhubung kehilangan wanita berusia 42 tahun itu kerana dikhuatiri boleh menjejaskan perancangan dan tindakan susulan yang bakal diambil.

“Saya mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman untuk membantu Kontinjen Kuala Lumpur dalam siasatan kes ini sekali gus menjejaki keberadaan Pamela.

“Bukit Aman dan Kontinjen Kuala Lumpur sedang meneliti segala fakta dan petunjuk yang ada dalam mengesan mangsa,” katanya.

Razarudin bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada penculikan Pamela dirancang oleh pihak tertentu disebabkan aset yang dimiliki, namun tidak menolak kemungkinan kes dirancang untuk mewujudkan kesalahan pada SPRM dan PDRM.

Pamela dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan untuk memberikan keterangan kepada SPRM pada pukul 1.30 tengah hari hingga 2.10 petang.

Misteri kehilangan wanita itu menyebabkan ahli keluarganya risau akan ke­selamatannya ekoran mangsa tidak dapat dihubungi atau membalas mesej menerusi telefon bimbit.

Abang Pamela, Simon Ling Wan Siong turut memohon bantuan orang ramai dan merayu pihak berkuasa mempercepatkan usaha mengesan adiknya.

Pamela menghantar mesej terakhir kepada peguamnya pada pukul 1.57 tengah hari memaklumkan dia sedang dalam perjalanan ke pejabat SPRM dan dijangka tiba pukul 2.08 petang.

Polis kini giat menjalankan siasatan dari pelbagai sudut dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu. Sehingga hari ini, Pamela sudah hilang selama 26 hari.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN