ANKARA – Jet-jet pejuang Turkiye mengeluarkan isyarat amaran elektronik bagi mengganggu pesawat-pesawat tentera Israel yang menceroboh ruang udara Syria, lapor laman berita The New Arab.
Tindakan itu dilakukan lewat Jumaat lalu ketika pesawat-pesawat pejuang Rejim Zionis melancarkan serangan ke beberapa lokasi termasuk di wilayah Hama dan Damsyik.
Agensi berita rasmi Syria, SANA melaporkan, seorang penduduk terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan Israel di pinggir Harasta serta bandar al-Tall berhampiran Damsyik.
Pihak Berkuasa Penyiaran Israel mengesahkan campur tangan tersebut dan berkata, jet-jet Turkiye menghantar isyarat amaran serta mengganggu pesawat-pesawat pejuangnya supaya meninggalkan ruang udara Syria.
Pegawai-pegawai Turkiye sebelum ini menyuarakan kekecewaan semakin meningkat terhadap pencerobohan Israel yang semakin berleluasa di Syria serta menganggapnya sebagai ancaman kepada kepentingan dan kestabilan serantau.
Katanya, adalah menjadi kewajipan bagi masyarakat antarabangsa untuk menyumbang kepada mewujudkan keselamatan dan kestabilan di Syria selepas kerajaan baharu dibentuk pada Disember tahun lalu.
Israel minggu lalu mendakwa bahawa serangan itu adalah mesej amaran kepada kerajaan Syria serta berikrar tidak akan bertolak ansur dengan sebarang penempatan tentera di selatan Damsyik atau ancaman kepada etnik minoriti Druze.
Ia dilihat cuba meletakkan kedudukannya sebagai ‘pelindung’ masyarakat Druze di Syria serta mengatakan bahawa campur tangan di Syria adalah untuk melindungi mereka.
Bagaimanapun, kebanyakan masyarakat Druze Syria telah menjauhkan diri dari Israel dan pada Jumaat lalu, serangan udara di wilayah Suweida, selatan Syria membunuh empat warga etnik itu.
Pemimpin-pemimpin Druze baru-baru ini mengeluarkan video yang mengesahkan kesetiaan mereka kepada negara bersatu Syria dan menolak seruan untuk perpecahan atau pemisahan.- AGENSI