TAIPING – Seorang remaja berusia 14 tahun yang dilaporkan tenggelam di sebuah lombong terbiar di Taman Palma 4, Kamunting di sini ditemui lemas petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa kali terakhir dilihat tenggelam pada jarak 4.5 meter dari tebing sewaktu bermain bersama rakan-rakannya.
“Anggota bomba memakai peranti pengapungan peribadi (PFD) sebelum melaksanakan kerja-kerja penyelamatan menggunakan teknik pencarian di permukaan dan peralatan grapping iron sehingga mangsa berjaya ditemui,” katanya di sini hari ini.
Sabarodzi berkata, mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh anggota Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi kejadian sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE