KOTA BHARU – Seorang pemotong rumput tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya di Kampung Kubang Edang, Peringat di sini hari ini terbakar buat kali kedua dalam tempoh tujuh tahun.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa, Che Mazlan Che Abdul Hamid, 41, yang sedang tidur di dalam rumah itu bersama pekerjanya bertempiaran lari selepas berasa bahang panas dari dalam sebuah bilik.
Che Mazlan berkata, dia sempat mengambil getah yang disambung pada paip untuk memadam api yang sedang marak sementara menunggu ketibaan pasukan bomba.
“Saya bergegas menyelamat mesin rumput dan mesin gergaji dianggarkan bernilai lebih RM1,500 yang berada di dalam sebuah bilik.
“Semua barang lain, sedikit wang tunai untuk bayaran gaji rakan saya dan barang elektrik tidak sempat diselamatkan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian hari ini.
Che Mazlan memberitahu, rumahnya itu pernah hangus dijilat api pada 2018 dan proses membaik pulih kediaman tersebut mengambil masa tiga bulan.
Katanya, dia mengesyaki kebakaran itu berpunca daripada litar pintas di dalam sebuah bilik yang menempatkan tilam, kerusi roda bapanya yang menghidap kencing manis dan pakaian.
“Kejadian itu menyebabkan saya mengalami kerugian yang dianggarkan lebih RM50,000 termasuk rumah, barangan eletrik dan perabot,” katanya. – KOSMO! ONLINE