fbpx

Kekasih curi emas RM111,000 alasan mahu mulakan hidup baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wajah dua suspek yang dirakam CCTV kedai emas itu.

SHAH ALAM – Persembunyian sepasang kekasih selepas mencuri barang kemas bernilai lebih RM111,000 di sebuah kedai emas sejak hampir seminggu lalu berakhir apabila dicekup pihak polis kelmarin.

Pasangan berusia 25 dan 23 tahun itu ditahan di Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor pada pukul 3.20 petang.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati suspek melakukan jenayah itu kerana tiada sumber kewangan kukuh dan mahu memulakan hidup baharu.

Kedua-dua mereka yang menganggur tiada rekod jenayah lampau.

“Selain tangkapan, kita merampas barang kemas yang dicuri, pakaian dan telefon bimbit. Siasatan mendapati emas itu telah dipajak dan dijual,” katanya hari ini.

Mohd. Iqbal memberitahu, pasangan kekasih direman selama tiga hari sehingga esok untuk siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan sebuah kedai emas kerugian RM111,743 selepas tiga utas rantai tangan dan dua bentuk cincin emas dilarikan suspek yang berpura-pura mahu membeli aksesori tersebut.

Kehilangan itu hanya disedari selepas pasangan tersebut beredar selepas pihak premis melihat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV). Polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 4.55 pagi, 27 April lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI