MEKAH – Kejayaan demi kejayaan yang dikecapi syarikat Masyariq Holdings dan Lembaga Tabung Haji (TH) adalah bertitik tolak daripada kerjasama strategik yang kukuh dalam merancang persiapan berkesan untuk keperluan serta keselesaan jemaah haji Malaysia.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, hubungan akrab antara TH dengan syarikat yang berpengkalan di Arab Saudi itu sekali lagi terbukti menjadi tonggak penting dalam kelancaran pelaksanaan operasi haji tahun ini.
“Terdapat garis masa yang ditetapkan Kementerian Haji Arab Saudi, TH dan Masyariq bekerjasama rapat untuk memastikan segala-galanya dilaksanakan mengikut jadual, terutamanya dalam mendapatkan tapak penempatan di Arafah dan Mina.
“Alhamdulillah, untuk tahun ini, hasil daripada kejayaan menerima Anugerah Labaytum tahun lalu, kita diberikan peluang untuk memilih tapak bagi jemaah Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas majlis simbolik perkongsian antara TH dengan Masyariq di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi Masyariq, Ali Hussein Al Bundugi; Timbalan Pengerusi Masyariq, Mahmoud Damanhouri dan Ketua Pegawai Eksekutif Masyariq, Waleed Mohammed Rashidi.
Dalam pada itu, Mohd. Hisham berkata, sikap saling menghormati dan tanggungjawab bersama antara dua pihak terlibat adalah kunci kepada penjagaan dan bantuan terbaik buat jemaah.
“Saya ingin menyeru kepada semua petugas yang terlibat supaya sentiasa berwaspada, menjangkakan cabaran dan meneruskan perancangan rapi untuk memastikan keselesaan, keselamatan dan kebajikan jemaah haji sepanjang mengerjakan ibadah itu.
“Kepada rakan Masyariq kami, terima kasih atas kerjasama, sokongan berterusan dan nilai bersama, marilah kita jadikan operasi haji tahun ini bukan sahaja berjaya, tetapi sentiasa diingati,” katanya.
Dalam pada itu, Ali Hussein dalam nada yang penuh emosi ketika berucap berkata, kerja dan perkhidmatan yang dilakukan kedua-dua pihak tersebut adalah bukannya menyantuni ‘pelanggan’ biasa.
“Anda tidak akan jumpa perkhidmatan ini dalam industri apa pun atau pekerjaan apa pun, kerana anda tidak memberi perkhidmatan kepada pelanggan yang datang setiap hari.
“Di sini kita menyantuni tetamu Allah, yang datang dengan membawa pengalaman sekali seumur hidup, yang ditunggu-tunggu sepanjang hayat, meletakkan tanggungjawab yang amat besar sekali kepada kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE