RANTAU PANJANG – Penyalahgunaan termasuk pengedaran dadah di Kelantan melibatkan tangkapan, reman dan sabitan kes berada pada tahap membimbangkan berdasarkan trend peningkatan kes sejak tiga tahun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, statistik itu diperoleh daripada Kementerian Kesihatan, Bahagian Narkotik Bukit Aman, Pusat Pemulihan Dadah dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
“Data menunjukkan Kelantan mencatatkan penyalahgunaan dadah tertinggi iaitu lebih 1,000 kes bagi setiap 100,000 penduduk yang jauh melebihi purata nasional iaitu 566. Empat negeri sempadan iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis berada dalam senarai negeri tertinggi penyalahgunaan dadah.
“Ia turut melibatkan lima daerah utama di negara ini dengan empat daripadanya di Kelantan iaitu Kuala Krai, Bachok, Tanah Merah dan Pasir Puteh selain Pendang (Kedah),” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja di Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) Ibrahim Pencen di sini hari ini.
Saifuddin berkata, Penjara Machang mencatatkan kesesakan tertinggi selepas menempatkan lebih dua kali ganda daripada kapasiti asal, dengan 80 peratus banduan terlibat dalam kes berkaitan dadah.
“Penjara itu mampu menampung 1,560 banduan, namun kini dihuni 3,184 banduan. 80 peratus banduan berkaitan kesalahan dadah. Begitu juga Penjara Pengkalan Chepa turut berdepan situasi serupa apabila menempatkan seramai 2,977 banduan berbanding kapasiti asal 1,500,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE