KUALA TERENGGANU – Bekalan telur keluaran khas bergred C akan dipertingkatkan bagi membantu pengguna terus menikmatinya pada harga murah biarpun subsidi sumber protein tersebut bakal dimansuhkan pada bulan Ogos depan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pengeluaran telur keluaran khas terbabit yang mula diperkenalkan pada bulan Ramadan lalu telah mendapat sambutan menggalakkan.
“Kita akan meningkatkan pengeluaran telur khas yang berharga lebih murah. Bulan Ramadan baru-baru ini, ia dijual sepapan RM5.
“Kita telah melakukan libat urus berunding dan berbincang dengan pengeluar (telur ayam),” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Pakatan Harapan Terengganu di Chendering di sini hari ini.
Mohamad berkata, kerajaan juga mengambil inisiatif menjual telur ayam pada harga lebih berpatutan daripada pasaran menerusi program anjuran agensi kerajaan seperti Progam Jualan Rahmah Madani dan outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) seluruh negara.
Beliau berkata, bagi memastikan bekalan telur ayam di pasaran tempatan terus stabil, larangan import kecuali yang masih terikat dengan kontrak pertanian masih dikekalkan
“Apapun kita yakin harga telur ayam tidak akan naik melambung. Ia dibuktikan apabila kita menarik subsidi ayam (segar) sebelum ini (pada November 2023).
“Dahulu kita subsidi ayam dan telur RM3.8 bilion semasa (pandemik) Covid-19 kerana masa itu harga makanan ayam naik mendadak. Sekarang harganya sudah reda,” katanya.
Mohamad berkata, subsidi RM3.8 bilion terbabit boleh digunakan Kementerian Kewangan untuk disalurkan bagi pembangunan lain. – KOSMO! ONLINE