PETALING JAYA – Penjualan dan pengedaran vape tidak boleh dianggap sebagai satu aktiviti ekonomi biasa, sebaliknya sebagai ancaman yang meluaskan pengaruh industri dadah ke dalam masyarakat.
Persekutuan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkata, lebih 90 peratus pengeluaran dan pasaran produk vape di negara ini dikuasai oleh syarikat berkaitan dengan industri tembakau global, yang mengutamakan keuntungan berbanding kesihatan rakyat.
Katanya, Fomca memandang serius taktik licik industri itu yang bersembunyi di sebalik naratif memperjuangkan perusahaan tempatan untuk menolak atau menggagalkan pelaksanaan dasar kesihatan awam negara.
“Ini adalah strategi halus tetapi bahaya, mengeksploitasi sentimen nasional demi melindungi perniagaan yang sebenarnya memudaratkan kesihatan dan keselamatan rakyat Malaysia, khususnya golongan muda.
“Fomca menyokong penuh pendedahan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, yang menyatakan bahawa sindiket pengedaran dadah telah mula memasukkan bahan-bahan ketagihan ke dalam cecair vape sebagai kaedah untuk membentuk pelanggan tegar,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Katanya, perkara itu bukan sahaja menjadikan vape sebagai produk berbahaya kepada kesihatan fizikal, malah pintu masuk kepada penyalahgunaan dadah.
“Situasi ini sangat membimbangkan dan jika tidak ditangani segera, ia bakal melahirkan generasi yang terperangkap dalam ketagihan dua kali ganda, nikotin dan dadah melalui produk yang dipasarkan secara terbuka, berwarna-warni dan menarik kepada remaja serta kanak-kanak.
“Kerajaan dan semua agensi penguatkuasaan perlu mengambil pendekatan tegas dan menyeluruh termasuk pengharaman penjualan vape yang menjadi pintu masuk utama kepada pengguna
muda,” katanya.
Katanya, pihak berkuasa juga perlu melaksanakan penguatkuasaan kawalan nikotin dan bahan-bahan lain di bawah undang-undang farmasi dan narkotik.
“Tindakan segera terhadap pengeluar dan pengedar yang menyasarkan remaja dan pelajar juga perlu diambil,” katanya. – KOSMO! ONLINE