MEKAH – Orang ramai terutama jemaah haji Malaysia dinasihatkan supaya merujuk saluran rasmi Lembaga Tabung Haji (TH) dan tidak mudah mempercayai maklumat yang tersebar di media sosial.
Pengarah Operasi Media TH, Mohamad Naser Jaafar berkata, langkah itu penting agar jemaah menerima maklumat yang tepat dan terkini berkaitan pergerakan serta operasi haji sepanjang musim 1446H/2025M ini.
“Memandangkan ketika ini terdapat pelbagai platform media sosial, rakyat Malaysia terutama jemaah haji disaran untuk mengikuti saluran media diiktiraf bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan terkini,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Dalam pada itu, Mohamad Naser turut mengakui kepentingan peranan media arus perdana yang menjadi keutamaan kepada laporan pergerakan jemaah haji pada tahun ini.
Selain Kosmo!, tujuh agensi lain iaitu RTM, Bernama, TV Alhijrah, Astro Awani, Sinar Harian, The Star dan radio Cats FM turut melaporkan perkembangan terkini jemaah haji dari Tanah Suci.
Mengulas mengenai liputan operasi haji, Mohamad Naser berkata, maklumat terkini akan sentiasa disampaikan oleh TH meliputi pergerakan jemaah, ibadah, bimbingan, logistik serta aspek kesihatan dan keselamatan.
“Operasi liputan media tahun ini merangkumi perjalanan jemaah haji dari Malaysia ke Tanah Suci termasuk ketika di Arafah, Mudzalifah dan Mina.
“Kemuncak liputan pada 9 Zulhijjah atau 5 Jun depan. Setelah selesai keseluruhan manasik pelaksanaan haji, tumpuan seterusnya berkaitan pergerakan pulang jemaah ke tanah air,” katanya.
Tambah beliau, seramai 19 petugas termasuk 14 pengamal media daripada lapan media cetak dan elektronik selesai menunaikan umrah Selasa lalu.
“Terdapat petugas media TH yang pertama kali menunaikan umrah dan ini ternyata memberikan pengalaman yang sangat bermakna,” katanya. – KOSMO! ONLINE