BUKIT KAYU HITAM – Projek pembinaan jalan menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam ke Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand dijangka siap lebih awal berbanding tarikh asal pada September depan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihak kontraktor memberi keyakinan bahawa projek tersebut dapat disiapkan mengikut tempoh masa ditetapkan meskipun kemajuan fizikal mencapai 47 peratus sehingga 29 April lalu.
“Status kemajuan fizikal (projek) sehingga 29 April lalu adalah 47 peratus, ia sedikit ke belakang (jadual asal) tetapi saya difahamkan ia dapat dicapai mengikut jadual peratusan sepatutnya.
“Pihak kontraktor beri keyakinan projek ini boleh siap pada September depan dan berita baik yang saya dengar adalah ia mungkin boleh siap lebih awal. Kalau boleh siapkan Ahead of Time (AOT), baguslah,” katanya kepada pemberita di tapak projek di sini hari ini.
Kata beliau, projek berimpak tinggi dengan harga kontrak asal bernilai RM141.57 juta itu adalah milik Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Cawangan Jalan Jabatan Kerja Raya (JKR) berperanan sebagai agensi pelaksana.
“Tarikh milik tapak projek ini adalah pada 21 Jun tahun lalu dengan skop utama projek merangkumi pembinaan jalan berkembar enam lorong dua hala (K3-3) piawaian JKR U5 sepanjang 900 meter.
“Ia juga melibatkan pembinaan jalan perkhidmatan piawaian JKR R5 sepanjang 300 meter ke Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Kayu Hitam,” ujarnya.
Menurutnya, skop lain adalah kerja-kerja perobohan bangunan dan fasiliti lama bagi menggantikan dengan bangunan baharu Kem Batalion ke-5 Rejimen sebanyak 10 blok bangunan serta pembinaan bangunan pos kawalan akhir dan pintu gerbang berbumbung.
Katanya, penyiapan projek mengikut tarikh ditetapkan atau AOT membantu Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam mencapai sifar projek sakit.
“Kerajaan Madani menerusi KKR sentiasa komited untuk merancakkan pembangunan infrastruktur termasuk pembinaan serta menaik taraf jalan raya di sempadan negara demi meningkatkan lagi aspek keselamatan di samping memperkukuh aktiviti ekonomi,” ujarnya.
Tambahnya, projek itu antaranya untuk meningkatkan keterhubungan, mobiliti dan aksesibiliti rakyat di kawasan sempadan serta memastikan jalan raya berkualiti, selamat dan selesa digunakan pengguna.
“Laluan baharu ini akan digunakan oleh kenderaan untuk keluar masuk yang mana ia dapat mengatasi masalah kesesakan trafik di kawasan sempadan ini,” katanya.
Pada 27 November 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatnya dari Thailand ketika itu, Srettha Thavisin melawat tapak projek tersebut dan kedua-dua pemimpin terbabit bersetuju supaya projek berkenaan dipercepatkan. – KOSMO! ONLINE