MEKAH – Penerbit Rancangan RTM, Muhammad Rastwin Stia mengakui melalui pengalaman yang indah dan menakjubkan bermula minggu lalu sebaik menjejakkan kaki ke Tanah Suci selepas bergelar mualaf sejak 15 tahun lalu.
Lebih memberi ketenangan kepada anak kelahiran Labuan itu, apabila dia berjaya menunaikan umrah buat kali pertama pada Khamis lalu.
Muhammad Rastwin berkata, sebaik menjejakkan kami di Masjidil Haram dia merasakan pengalaman tersebut seperti mimpi selain menyifatkan itu adalah hadiah paling istimewa buatnya tahun ini.
“Sesuatu yang indah dan menakjubkan sebenarnya, suatu momen yang sukar digambarkan dalam bentuk perkataan.
“Saya rasai ketenangannya berada di dua kota suci ini walaupun dengan khalayak yang ramai. Saya ucapkan terima kasih buat Tabung Haji (TH) kerana memberi peluang ini,” katanya di sini semalam.

Beliau adalah merupakan salah seorang daripada 14 petugas media Malaysia yang bertugas untuk membuat liputan pergerakan jemaah haji negara di Madinah dan Mekah tahun ini.
Kesemua petugas media TH tersebut menunaikan ibadah umrah di Masjidil Haram kira-kira pukul 11 malam Khamis lalu selepas berniat ihram dan umrah di Miqat Bir Ali di Madinah kira-kira pukul 12 tengah hari.
Turut menyertai umrah tersebut adalah Pengarah Operasi Media TH, Mohamad Naser Jaafar.
Sementara itu, Ketua Unit Media Sosial Sosial Sinar Harian, Nur Farhana Abdul Manan berkata, dia memang merancang untuk ke Tanah Suci bagi menunaikan umrah tahun ini.
“Namun perancangan-Nya itu lebih baik apabila Dia panggil untuk saya buat umrah dan haji sekali gus.
“Lebih bermakna, apabila tarikh kelahiran yang ke-41 saya jatuh pada 5 Mei ini serta saya akan menyambut hari lahir di Tanah Suci tahun ini,” katanya.
Menurut Eksekutif Editor Astro Awani, Zaiful Ariffin pula, beliau pernah diberikan peluang kira-kira 15 tahun lalu tetapi tidak mengambil peluang tersebut.
“Salah satu sebabnya adalah mungkin saya tidak bersedia jadi pada kali ini apabila menerima berita untuk menjadi petugas media TH saya terus ambil.
“Dalam fikiran saya ini adalah masanya, jadi saya sudah mengetahui cabarannta dari awal dan telah bersedia dari segi mental dan fizikal,” katanya.
Petugas media termuda, Wartawan TV AlHijrah, Sitti Khadizah Faisal, 32, berkata, dia tidak menyangka doanya dijawab oleh Allah SWT dalam keadaan yang paling indah.
“Doa saya semoga Allah SWT jadikan pekerjaan ini pekerjaan yang memberi manfaat buat diriku dan ummah. Selepas enam tahun dalam bidang kewartawanan, Allah beri satu hadiah dalam usia sebegini,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE