PAPAR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali memberi jaminan tiada kenaikan harga telur ayam di pasaran walaupun subsidi barangan kawalan berkenaan bakal ditamatkan pada Ogos tahun ini.
“Walaupun subsidi dikurangkan, tetapi sebenarnya harga masih dikawal.
“Saya memberikan penegasan dan mengingatkan semua bahawa semua pihak masih terikat dengan harga kawalan telur di pasaran.
“Jangan sesekali bertindak menaikkan sesuka hati. Pegawai kita akan memantau bersama- sama dengan Kementerian Pertanian. Kita ada platform aduan sedia ada yang rakyat boleh salurkan sekiranya terdapat sebarang penjualan di luar Harga ditetapkan.
“Komitmen kita di Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bahawa setiap aduan yang berkaitan dengan harga ini kita akan susul dalam mass 24 jam,” katanya ketika sidang media melepas meninjau Mini Portable Container System (PCS) di Stesen Petronas Kimanis pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, pihaknya sentiasa melaksanakan pemantauan berterusan berkaitan harga telur ayam di pasaran.
“KPDN ada operasi-operasi khusus untuk kita memantau bekalan, malahan baru-baru ini kerajaan sudah menubuhkan satu jawatankuasa khusus yang melihat kepada kestabilan bekalan dan harga,” katanya. – KOSMO! ONLINE