ALOR GAJAH – Sepasang suami isteri cemas selepas kereta dinaiki tersadai di dalam selut di laluan ‘seram’ di penghujung Jalan Kampung Ulu Pegoh, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, mangsa berusia 29 dan 30 tahun diselamatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka, Penguasa Bomba, Tc Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 8.14 malam dan sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi berkenaan.
“Anggota bomba pergi ke lokasi dengan menaiki trak pikap Toyota Hilux dan menemui kereta Perodua Kelisa dinaiki pasangan itu yang tersangkut 15 sentimeter di dalam selut.
“Mereka panik, namun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Pihak bomba kemudian membantu mengeluarkan kereta itu dengan menggunakan kaedah ‘winching’. Pasangan itu kemudian dibawa keluar ke jalan utama.
“Difahamkan mangsa dalam perjalanan memberikan perkhidmatan inai di A’Famosa Resort namun tersesat selepas menggunakan Google Maps,” katanya. – KOSMO! ONLINE