PUTRAJAYA – Perubahan harga bagi telur ayam dijangka berlaku selepas 1 Ogos depan apabila kadar subsidi ditamatkan sepenuhnya.
Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, pihaknya mengharapkan perubahan harga yang positif akan berlaku apabila pengapungan harga telur ayam dilaksanakan.
“Apa yang berlaku selepas pada 1 Ogos nanti apabila harga subsidi dihapuskan sepenuhnya (dan) harga akan diapungkan. Masa itu baru akan berlaku perubahan harga, jika ada.
“Kita berharap perubahan harga itu adalah perubahan harga yang positif seperti mana kita laksanakan pada harga ayam. Apabila kita buat pengapungan harga ayam, harga ayam turun daripada harga pasaran semasa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi taklimat media berhubung inisiatif pemaparan harga ubat di kemudahan jagaan kesihatan swasta dan farmasi komuniti di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (Akta 723) di sini hari ini.
Kelmarin, media melaporkan, kadar subsidi telur ayam dikurangkan kepada lima sen daripada 10 sen bermula esok dan seterusnya ditamatkan sepenuhnya mulai 1 Ogos ini. – KOSMO! ONLINE