fbpx

Kapal LCS pertama dalam ujian, bakal diserah tahun hadapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adly menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Affin Digital Space iaitu sebahagian daripada Program Digitalisasi SDK di SK TUDM Subang hari ini. FOTO AFIQ RAZALI/ KOSMO!

SUBANG – Kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pertama kini berada pada fasa akhir dan sedang menjalani ujian di pelabuhan dan laut sebelum diserahkan secara rasmi kepada kerajaan menjelang tahun hadapan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kapal tersebut telah siap dibina dan dijangka dapat memenuhi keperluan dan penggunaan pihak TLDM menjelang tahun hadapan, selari dengan jadual dan perancangan kerajaan.

“Kita tahu bahawa LCS pertama telah dimuktamadkan pembinaannya dan sekarang berada dalam proses ujian di pelabuhan dan juga ujian di air laut.

“Kita memang harap menjelang tahun hadapan, kita akan dapat memenuhi keperluan LCS kita,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Digitalisasi Sekolah Dalam Kem di SK TUDM Subang, di sini hari ini.

Selain LCS, jelas Adly, kerajaan juga komited menambah aset-aset laut melalui kerjasama strategik dengan Turki bagi pembinaan kapal misi pesisir (LMS) demi memastikan kesiapsiagaan pertahanan laut berada pada tahap tertinggi.

“Komitmen kerajaan bukan sahaja dari segi jumlah aset, tetapi juga pada aspek teknologi tinggi agar ia benar-benar mampu menjaga kedaulatan dan keselamatan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Adly berkata, Malaysia telah bersiap sedia menerima kehadiran delegasi antarabangsa sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25) yang bakal berlangsung 20 hingga 24 Mei ini.

“LIMA ’25 bukan sahaja melibatkan promosi sektor pertahanan tetapi turut memainkan peranan penting dalam diplomasi ketenteraan.

“Pameran itu juga memberi ruang kepada negara untuk memperlihatkan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam pelbagai aspek pertahanan, selain memperkukuh kerjasama dua hala bersama negara lain,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI