KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membentangkan draf Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig pada sidang Parlimen akan datang bagi menyelesaikan masalah kira-kira 2.2 juta pekerja dalam sektor p-hailing dan e-hailing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akui masih ada kekurangan terhadap beberapa aspek yang memerlukan pembaikan khususnya dalam menjaga kebajikan kumpulan pekerja itu.
Tegas beliau, menegaskan segala isu dan masalah disuarakan pekerja Gig selama ini akan diselesaikan menerusi undang-undang pekerja Gig.
“Insya-Allah, kekurangan seperti yang dihadapi pekerja gig akan kita selesaikan menerusi RUU Pekerja Gig yang akan kita bentangkan dalam sidang Parlimen akan datang,” katanya.
Belia berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Hari Pekerja sempena Sambutan Hari Pekerja 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, hari ini.
Terdahulu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong memaklumkan, draf RUU yang sudah siap sedia untuk dibentang, dibuat selepas sesi libat urus dilaksana dengan lebih 3,000 pekerja.
Katanya, kerajaan telah mendengar keluhan golongan gig sejak sekian lama menuntut perlindungan dan hak mereka sewajarnya.
“Kerajaan mendengar keluhan anda. Sudah bertahun-tahun diberi janji manis. Kerajaan bersilih ganti. Perubahan belum sampai. Di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan sudah menyiapkan draf RUU pekerja gig yang bersejarah,” katanya.
Semalam, Ketua Aktivis Gabungan e-Hailing Malaysia (GEM) dalam kenyataan berkata, pihaknya menyeru agar kerajaan segera membentangkan RUU ini di Dewan Rakyat tanpa lengah.
“Kami menolak sekeras-kerasnya tindakan segelintir pihak yang cuba menggagalkan atau melengahkan usaha pembentangan RUU ini atas alasan kononnya kurang libat urus.
“Ironinya, mereka turut hadir dalam sesi libat urus tetapi memilih untuk membisu. Kepada mereka yang membantah penggubalan akta ini, ketahuilah? perubahan ini bukan pilihan, tetapi satu keperluan nasional,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE