fbpx

Peniaga capati terkejut ‘disergah’ buaya tembaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PAK ABU menunjukkan lokasi tempat dia terserempak buaya di tebing Sungai Umbai di Kampung Bukit Kechil, Pernu, Melaka, semalam. Foto oleh AMRAN ALI/ KOSMO!

MELAKA – Seorang peniaga capati di Kampung Bukit Kechil, Pernu di sini terkedu apabila ‘disergah’ seekor buaya dipercayai jenis tembaga yang tiba-tiba muncul di tebing Sungai Umbai berhampiran warung miliknya, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, Abu Shah Hashim, 57, berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang melakukan kerja memotong rumput di sekitar warung terletak kira-kira 20 meter dari lokasi reptilia itu muncul.

Menurutnya, kelibat buaya berukuran kurang satu meter itu muncul secara tiba-tiba di permukaan air sebelum naik ke tebing sungai untuk berehat.

“Masa saya tengah potong rumput tiba-tiba dia muncul di permukaan air, memang saya terkedu.

“Dia kemudian naik ke tebing untuk beberapa minit sebelum masuk semula ke dalam sungai dan hilang daripada pandangan,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Tambahnya, dia sempat merakamkan detik cemas itu menggunakan telefon bimbitnya sebagai bukti dan peringatan untuk dikongsikan kepada penduduk setempat agar berhati-hati sekiranya melalui kawasan berhampiran.

“Saya rakam sekejap guna telefon sebab nak tunjuk bukti pada orang kampung. Memang betul-betul nampak dengan mata sendiri.

“Mungkin ini buaya yang sama pernah dilihat penduduk sebelum ini, tahun lepas. Malam tadi pun saya nampak lagi kelibatnya beberapa kali sekitar pukul 11.30 malam,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka, Petra Sulai ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang mengambil langkah awal untuk menyiasat kejadian tersebut.

“Kami akan turun ke lokasi untuk siasatan awal. Tindakan selanjutnya bergantung kepada hasil siasatan,” katanya ringkas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI