MUZAFFARABAD, PAKISTAN – Pihak berkuasa Kashmir yang ditadbir Pakistan menutup lebih 1,000 sekolah agama hari ini ekoran kebimbangan tercetusnya tindakan ketenteraan dari India sebagai tindak balas terhadap serangan maut minggu lalu.
“Kami mengumumkan rehat 10 hari untuk semua madrasah di Kashmir,” kata Ketua Jabatan Hal Ehwal Agama tempatan, Hafiz Nazeer Ahmed.
Sumber jabatan berkata, ia disebabkan oleh ketegangan di sempadan dan potensi konflik.
India menyalahkan Pakistan atas serangan senjata api yang membunuh 26 orang pada 22 April di wilayah Kashmir yang ditadbir India. Semalam, Perdana Menterinya, Narendra Modi memberikan tentera India kebebasan untuk ‘beroperasi sepenuhnya’.
Sambil menafikan penglibatan Pakistan dalam serangan itu, Islamabad berkata, ia mempunyai bukti yang boleh dipercayai bahawa India sedang merancang serangan ketenteraan.
Tambahnya, sebarang tindakan pencerobohan akan disambut dengan tindak balas yang tegas.
Hari ini, New Delhi melaporkan berlakunya tembakan senjata kecil-kecilan antara kedua-dua pihak di sempadan de facto, Garisan Kawalan untuk malam ketujuh berturut-turut. – AFP