Malaysia terkenal dengan toman bersaiz mega dan salah satu ‘padang’ pancing yang sentiasa menjadi tumpuan pemburunya adalah di lombong Tan Chong di Rawang, Selangor. Banyak toman saiz monster berjaya didaratkan di sini sehingga lombong ini digelar Home of World Record Toman.
Bagi penggemar teknik mengilat, ikan toman sentiasa menjadi buruan. Pendek kata, tidak akan lengkap ‘lesen’ mengilat anda jika tidak pernah menaikkan spesies ikan ‘kepala ular’ ini.
Terdapat beberapa jenis spesies Channa (ikan kepala ular) yang wujud di perairan air tawar negara kita. Antara yang paling terkenal adalah ikan toman Channa micropeltes, dan ia duduk di tangga teratas carta buruan pengilat.
Reputasi ikan toman yang ganas dan kuat sentiasa membuatkan ia menjadi sasaran utama untuk trofi bagi pengilat dari dalam serta luar negara.
Tasik Temenggor, Tasik Kenyir, Tasik Gubir, Tasik Pedu, Sungai Kedah merupakan antara hotspot toman apabila tiba musimnya. Di Lembah Klang pula, bekas lombong di sekitar Rawang merupakan pusat tumpuan bagi kaki toman di Selangor.
Lombong-lombong di sini mulanya merupakan tempat perlombongan bijih timah yang wujud sejak dari tahun 1880-an dan diusahakan oleh kaum Cina berketurunan Hakka. Namun aktiviti tersebut perlahan-lahan berkurangan bermula pada era 1960-an.
Sejak itu, kebanyakkan lombong-lombong ini terbiar dan ada sesetengah yang menjadi kawasan beriadah, namun ada satu lombong yang cukup terkenal dalam kalangan
kaki pancing sehingga mendapat panggilan sebagai ‘Rumah Kepada Rekod Dunia’ iaitu lombong Tan Chong di Rawang, Selangor.
Kenapa ia dinamakan lombong Tan Chong? Ini kerana lombong itu terletak bersebelahan dengan kilang pemasangan kereta yang diedarkan oleh Syarikat Tan Chong Motor.
Toman Tan Chong
Zainuddin Chantando atau dikenali sebagai Din Labatta antara pemancing yang terawal memancing di sini menggunakan bot bersama Faizal Zainal atau
popular sebagai Faizal Totet.
Sebelum itu, kebanyakan pemancing lebih terarah kepada menebing sahaja. Din berkongsi kisah dia memancing di Tan Chong bermula pada tahun 2014.
“Apabila saya mula turun ke Tan Chong, kerap kali saya tewas. Walaupun toman bujang, namun kekuatannya acap kali membuatkan mata tiga gewang terkangkang.
“Hanya setelah beberapa minggu, pada 30 Ogos 2014, barulah saya berjaya menaikkan seekor toman dengan menggunakan spinnerbait buatan sendiri,” terang Din lagi.

Permukaan lombong yang dipenuhi dengan tumbuhan akuatik keladi bunting membuatkan aktiviti mengilat toman sentiasa memberikan cabaran serta element of surprise.
Perkara sama turut dikongsi oleh Nankairel atau nama sebenarnya Shamsul Azmi Azman yang terkenal dengan gelaran ‘Pawang Toman’ dalam kalangan rakan memancing.
Pernah sekali dia terserempak dengan toman bersaiz monster sehingga membuatkan jantungnya berdebar kencang dan menjadi igauan kepadanya sehingga berminggu-minggu lamanya.
Rekod IGFA
Nama lombong Tan Chong mula dikenali di serata dunia apabila seorang pemancing tempatan, Roob Ganesan mencatat rekod dunia International Game Fish Association (IGFA) pertama di sini pada 2016 dalam kategori Line Class 30 paun (lb). Sejak itu, keadaan di lombong ini berubah sama sekali, semakin hari semakin ramai pemancing turun ke sana dengan misi memburu toman mega.
Deretan rekod dunia toman tercipta di lombong Tan Chong selepas itu dengan Faizal Totet berjaya menaikkan toman mega seberat 30lb atau 13.61 kilogram (kg) dalam kategori All-Tackle IGFA.
Terdapat kisah di sebalik rekod IGFA Faizal. Ketika itu, dia turun dengan dua buah bot bersama Din Labatta yang berada di bot berasingan. Ketika menaikkan toman tersebut, Faizal meminjam Boga Grip kepunyaan Din kerana pada pandangannya toman yang dinaikkan itu agak besar.
Setelah ditimbang, sangkaan Faizal tepat apabila ikan tersebut mencecah angka 30lb yang terdapat di Boga Grip tersebut. Lantas Din menyarankan agar ikan tersebut dinaikkan ke darat untuk membuat catatan dan rekod.
Segala dokumentasi segera dihantar kepada pihak IGFA melalui e-mel untuk pengesahan.
Selain itu, Ng Yam Pin atau dikenali sebagai Ironman Ng turut tidak terkecuali dengan rekod toman 12.7kg kategori IGFA Line-Class 20lb. Akhir sekali, Mohd. Aliff Mohd. Ali atau Alip Rapala Oz yang menaikkan toman pada 9
Ogos 2022 dengan rekod 13.15kg kategori IGFA Line-Class 50lb menggunakan gewang buzzbait.
Penutup kisah lagenda
Bermula pada tahun lalu, lombong Tan Chong telah ditutup sepenuhnya untuk memberi laluan kepada projek tenaga solar kerajaan negeri. Sayang sekali apabila lapangan yang berpotensi untuk menjana ekonomi setempat hilang begitu sahaja.
Ambil contoh seperti Sungai Kedah yang menjadi destinasi popular pemburu toman. Apabila lokasi tersebut semakin mendapat tempat daripada pemancing luar negara, sekali gus menaikkan nilai komersial serta ekonomi setempat dari sudut pelancongan dan banyak lagi.
Bayangkan, jika lombong Tan Chong ini diuruskan oleh pihak yang cakna akan potensinya di dalam dunia memancing, kemungkinan banyak lagi rekod dunia toman bakal tercipta di sana. Apakan daya, industri memancing masih lagi dipandang sepi, padahal ia bernilai puluhan juta ringgit.
Harapan saya, semoga akan ada inisiatif daripada
pihak berwajib atau kerajaan negeri supaya industri memancing dapat diangkat ke tahap lebih tinggi.














