SUBANG JAYA – Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris menggesa khalayak terutama golongan muda untuk terus mempertahankan warisan Melayu demi kelestarian bangsa pada masa hadapan.
Noraniza, 57, yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Tatihseni Malaysia berkata, menerusi acara Rewang Eh Raya 2025 yang diadakan baru-baru ini menjadi platform penting dalam memupuk semangat komuniti menerusi seni budaya lebih-lebih bersempena Tahun Melawat Selangor 2025.
“Apa yang kita lakukan ini bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi satu usaha untuk membentuk sahsiah dan memperkasa identiti budaya dalam diri anak-anak kita.
“Syukur alhamdulillah, dengan sokongan padu daripada pihak penaja seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Pendidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tourism Selangor, Agensi Pekerjaan Najah, Che Ani Premium, Promedia Broadcast serta Summit USJ, kita berjaya merealisasikan sebuah acara budaya berskala besar yang mampu menyatukan pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
Tambahnya, keterlibatan kanak-kanak dan golongan muda dalam aktiviti seperti pertandingan mewarna dan bengkel tarian tradisional adalah antara kejayaan terbesar program ini.
“Kita mahu anak-anak ini bukan sahaja mengenali budaya mereka, malah berbangga dan berani mempertahankannya di masa hadapan.
“Saya percaya seni budaya tradisional bukan sekadar untuk dikenang, tetapi perlu terus hidup dan dibudayakan sepanjang masa.
“Insya-Allah, kita akan terus komited mengangkat warisan bangsa ini ke persada yang lebih tinggi,” katanya penuh semangat.
Lebih membanggakan, lebih 6,000 peserta telah mendaftar lebih awal secara dalam talian untuk menyertai aktiviti yang disediakan, membuktikan bahawa seni tradisional masih mendapat tempat istimewa di hati rakyat Malaysia.
Rewang Eh Raya 2025 yang berlangsung di pusat beli-belah Summit USJ mencatat kejayaan membanggakan apabila menarik kehadiran lebih 10,000 pengunjung, membuktikan bahawa warisan seni budaya Melayu dan Bugis masih kukuh berakar dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Penaung program, YM Tengku Datuk Dr. Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman Al-Haj turut hadir memeriahkan acara bersama para tetamu kehormat lain, menunjukkan sokongan padu terhadap usaha memartabatkan seni budaya warisan bangsa.
Dalam ucapannya, Hishammuddin Zaizi turut menekankan kepentingan untuk memperkenalkan budaya tradisional sepanjang tahun, dan tidak hanya bergantung pada musim perayaan sahaja. Beliau menyeru agar usaha memperkasakan seni budaya ini diteruskan secara berterusan.
Menariknya, sebelum perasmian rasmi, para pengunjung turut disajikan dengan klip video pengenalan kepada gastronomi warisan Bugis, sekali gus memperkayakan lagi pengalaman budaya sepanjang program berlangsung. – KOSMO! ONLINE