fbpx
Mohammad Hanif (dua dari kiri) dan isteri, Maimunah (kanan) didakwa mengambil rasuah dan mengemukakan dokumen palsu berkaitan tender bernilai RM4.9 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.

Pegawai MPD, isteri didakwa rasuah, tipu dokumen tender RM4.9 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Bekas Penolong Juruukur Bahan di Majlis Perbandaran Dungun (MPD) dan isterinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendapatkan suapan dan mengemukakan dokumen palsu berkaitan tender pembersihan awam bernilai keseluruhan lebih RM4.9 juta.

Kedua-dua tertuduh, Mohammad Hanif Ahmad, 41, dan isterinya, Maimunah Syahbudin, 47, membuat pengakuan tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman.

Berdasarkan empat pertuduhan, Mohammad Hanif didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan mengesyorkan syarikat milik bapa, abang dan rakannya bagi tender perkhidmatan pembersihan awam dan kerja-kerja berkaitan bernilai keseluruhan RM4,984,296.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di pejabat Majlis Daerah Dungun (MPD) di sini antara 16 Disember 2018 hingga 9 Mac 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Maimunah yang merupakan seorang kontraktor pula berhadapan 10 pertuduhan menggunakan dokumen palsu berupa penyata akaun dan sijil akuan pendaftaran syarikat tiga syarikat berbeza.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di MPD antara 17 Disember 2020 dan 10 Januari 2021.

Maimunah didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI