SHAH ALAM – Kerajaan Selangor bersetuju memberikan bantuan sewa kepada 455 keluarga insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan berbanding 396 mangsa yang telah dimuktamadkan sebelum ini.
Katanya, ia disebabkan beberapa permintaan dan permohonan serta siasatan telah dilakukan pihaknya.
“Mereka akan menerima bantuan sebanyak RM6, 000 bagi sewaan tiga bulan dan tiga bulan selepas ini akan diberikan kepada mereka yang memerlukan.
“Peruntukkan sebanyak RM2.37 juta akan disalurkan kepada setiap keluarga untuk kos sewaan mereka ke dalam akaun bank masing-masing,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Jelas beliau, seramai 214 keluarga telah dibantu setakat ini dengan selebihnya sedang menunggu pengesahan akaun, kad pengenalan dan dokumen berkaitan.
“Kalau selepas enam bulan (daripada tempoh sewaan ditetapkan sebelum ini), kerajaan negeri juga akan sediakan dananya.
“Ini selepas enam bulan, saya percaya hampir 60 hingga 70 peratus akan kembali ke kediaman mereka. Selebihnya, kerajaan negeri menyatakan komitmen menanggung balik sewa mereka selama enam bulan atau setahun lagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE