ROTTERDAM, BELANDA – Sebuah lukisan hasil karya artis seni Amerika, Mark Rothko dirosakkan seorang kanak-kanak ketika ia dipamerkan di sebuah muzium di Belanda, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
Jurucakap Muzium Boijmans Van Beuningen di bandar Rotterdam berkata, ia sedang mempertimbangkan langkah seterusnya untuk membaiki lukisan abstrak bertajuk Grey, Orange on Maroon, No. 8 itu.
“Kerosakan berlaku semasa kanak-kanak itu tidak diawasi,” kata jurucakap muzium berkenaan kepada akhbar Algemeen Dagblad (AD).
Tambahnya, calar kecil kelihatan pada lapisan cat yang tidak bervarnis di bahagian bawah lukisan tersebut.
Lukisan itu dianggarkan bernilai sehingga €50 juta (RM250 juta), lapor akhbar AD.
“Kami mencari pakar pemulihara dari dalam dan luar negara serta sedang meneliti langkah seterusnya untuk merawat lukisan itu.
“Karya tersebut dijangka dapat dipamerkan semula pada masa hadapan,” kata jurucakap muzium. – AGENSI