SERAMAI 1,789 calon gagal dalam semua mata pelajaran dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 seperti diumumkan pada 24 April lalu.
Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan terdapat peningkatan bilangan calon yang gagal dalam semua mata pelajaran berbanding 1,467 calon pada 2023.
Di Malaysia, SPM dianggap peperiksaan awam utama dan penting bagi pelajar. SPM bukanlah penentu tunggal kejayaan seseorang, namun ia berperanan sebagai ‘tongkat’ pengukur untuk masa depan.
SPM membolehkan pelajar menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi di kolej atau universiti. Sehebat manapun pelajar dalam subjek-subjek tertentu, mereka tidak layak menerima sijil jika gagal Sejarah dan bahasa Melayu.
Pengerusi Pertubuhan Pensyarah Cemerlang Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Ilmu Khas, Norani Abd. Rahim berkata, kegagalan calon dalam semua mata pelajaran bagi peperiksaan awam menjadi fenomena yang menggusarkan dan perlu diberikan perhatian.
Salah satu faktor utama yang membawa kepada kemerosotan ini adalah kurangnya fokus semasa sesi pembelajaran.
“Kurang daya tumpuan di kelas menjadi faktor pemula yang akhirnya cenderung kepada kegagalan memahami topik dipelajari dan menyiapkan tugasan.
“Melihat trend masa kini, gajet menjadi penyumbang penting ketidakcergasan fizikal dan ketidaksediaan minda untuk belajar.
“Remaja kini memiliki telefon yang banyak digunakan untuk hiburan. Ketagihan terhadap aplikasi maya menyebabkan pelajar tidur lewat jadi mereka mengantuk dan tidak fokus di dalam kelas,” kata beliau.
Tidak dinafikan terdapat calon yang terpaksa bekerja pada waktu malam.
“Tekanan kewangan dan keperluan material pada zaman mencabar ini mendorong pelajar bekerja sambilan selepas waktu sekolah.
“Mereka bukan sahaja membantu keluarga, tetapi memenuhi kehendak sendiri membeli telefon, pakaian berjenama dan keperluan lain yang tidak dapat dipenuhi oleh ibu bapa. Melihat kepada trend urus niaga di TikTok misalnya, ada antara mereka sanggup berniaga atau menjadi ‘host’ jualan hingga lewat pagi.
“Ini mengakibatkan mereka menghadapi kekangan masa dan letih untuk meneruskan aktiviti pembelajaran termasuk menyiapkan kerja sekolah,” katanya.
Jelas beliau, guru perlu memainkan peranan dalam memastikan minat pelajar terhadap pembelajaran sentiasa terpelihara.
“Walaupun sebahagian besar guru cakna, namun masih ada yang gagal menjentik hati murid untuk memberi tumpuan. Dalam hal ini, sikap peka untuk mendidik pelajar bermasalah adalah aspek penting untuk memberi inspirasi kepada mereka.
“Keperibadian, perwatakan dan profesionalisme guru menjadi ikatan jiwa yang boleh memegang hati pelajar agar tanggungjawab sebagai murid,” katanya.
Sesusah manapun, tentunya KPM tidak akan membiarkan mereka terus tercicir, tetapi sebagai warganegara terutama ibu bapa, kita perlu menyedari dan melaksanakan tanggungjawab dengan baik untuk masa hadapan yang lebih cerah.