PETALING JAYA – Iran Expo 2025 yang diadakan di Tehran membuka ruang penting untuk memperkukuh hubungan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Iran.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Iran Expo 2025 merupakan sebuah pameran perdagangan terbesar.
“Menghimpunkan syarikat-syarikat utama serta pelabur dari seluruh dunia. Lebih 800 syarikat Iran dan lebih 2,400 peserta antarabangsa.
“Insya-Allah, kerjasama yang telah dimulakan ini akan terus diperkukuh demi manfaat bersama,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, Mohamad memaklumkan, ketibaan beliau di Tehran disambut oleh sahabat lamanya, mantan Duta Iran ke Malaysia, Tuan Mohammadi.
Katanya, sepanjang lawatan, beliau berpeluang bertemu dengan pemain industri khususnya dalam sektor pertanian dan makanan.
“Banyak potensi kerjasama yang boleh diterokai bersama,” katanya. – KOSMO! ONLINE