PONTIAN – Seorang remaja yang dilaporkan gagal dikesan di Benut Isnin lalu dipercayai hilang ketika sedang berjoging.
Menurut ibunya, Loh Siu Ling, 43, kelibat terakhir Tan Boon Chin, 18, dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) di hadapan sebuah perhentian bas di Benut dengan memakai baju biru dan seluar hitam.
Katanya, anak sulung dua beradik itu keluar beriadah pada pukul 8 pagi sementara dia berada di dalam rumah dan tidak menyangka anaknya tidak pulang ke rumah sejam selepas itu sepertimana hari-hari biasa.
“Dalam rakaman CCTV tersebut tidak merakamkan Boon Chin berulang-alik seperti aktiviti berjogging namun ketika rakaman ketika itu pada pukul 8.05 pagi,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Siu Ling, Boon Chin ketika hilang, anaknha itu tidak membawa sebarang beg pakaian dan meninggalkan telefon bimbit di rumah.
Jelasnya, pelbagai usaha telah dilakukan bagi menjejaki Boon Chin termasuklah menghubungi ahli keluarga terdekat namun usaha itu gagal.
Kosmo! semalam melaporkan orang ramai diminta membantu mencari seorang remaja berbangsa Cina berusia 18 tahun yang telah menghilangkan diri dari rumahnya di Taman Benut Jaya, Benut sejak Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, keluarga mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Benut pada hari kejadian setelah menyedari Boon Chin tiada di rumah.
Mengikut laporan Polis yang dibuat oleh ibunya, ciri-ciri remaja hilang itu mempunyai ketinggian, 168 cm, berambut pendek dan berwarna hitam, berbadan kurus, anggota bandan berwarna putih.
Sekiranya orang ramai yang ternampak orang hilang (OH), boleh menghubungi Ketua Balai Polis Benut Sarjan Mejar (SM) Norazli Salleh melalui nombor 019-7475485 atau talian hotline 07-6869999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE