JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat yang dimasukkan ke Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Columbia Asia, Iskandar Puteri sejak 11 malam tadi kini dalam keadaan stabil.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, pihaknya mendoakan yang terbaik untuk kesihatan Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Amanah Johor.
“Maklumat dan sumber diperoleh berkenaan dengan keadaan Suhaizan telah menimbulkan panik sehingga pelbagai teori dan persepsi timbul.
“Beliau kini berada dalam keadaan stabil,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, Aminolhuda juga berharap segala persepsi negatif berhubung kesihatan Suhaizan dapat dihentikan masyarakat.
“Kami akan maklumkan keadaan terkini beliau, serta berharap agar tidak ada pihak menyebarkan kenyataan yang tidak sah serta menambah ketegangan terhadap situasi serta kesihatan Suhaizan,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE