KUALA TERENGGANU – Imam Surau Kampung Padang, Gelong Bilal, di sini berjaya menangkap seorang suri rumah yang sedang mengumpil tabung surau tersebut, di sini semalam.
Sewaktu ditahan pada pukul 5 petang tersebut, wanita berusia 34 tahun itu disyaki sempat mengambil wang tunai keseluruhan RM16 diambil daripada tabung surai yang diumpilnya menggunakan sebatang senduk dan pembaris.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komosioner Azli Mohd. Noor, berkata, siasatan awal percaya kejadian kelmarin merupakan kali ketiga suspek memecah tabung surau sama dalam tempoh seminggu.
“Sebelum ini, tabung surau di ruangan solat wanita telah dipecah melibatkan kerugian kira-kira RM300 yang disyaki dilakukan suspek pada 21 April lalu.
“Sebelum kejadian, imam berusia 59 tahun terbabit telah terserempak dengan suspek yang mendakwa mahu menumpang berehat di dalam surau berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, di sini hari ini.
Azli berkata, suri rumah sama juga didakwa cuba memecah tabung surau itu buat kali kedua tetapi gagal dan sempat melarikan diri apabila terserempak dengan ibu imam berkenaan pada 25 April lalu.
Beliau berkata, wanita yang berasal dari Bukit Payong, Marang terbabit dilihat seorang jiran imam itu memasuki surau sama dipercayai untuk melakukan perbuatan jenayah sama, kelmarin.
“Modus operandi mangsa ialah menggunakan sebatang senduk besi bersama pembaris besi yang dibengkokkan untuk mengeluarkan wang derma di dalam tabung yang berada di ruang solat lelaki surau tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE