PUTRAJAYA – Siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru selesai sekitar 15 hingga 20 peratus.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan memanggil semula bekas Perdana Menteri itu dalam tempoh dua minggu lagi.
“Kita akan memanggilnya dalam tempoh dua minggu lagi kerana ada beberapa dokumen kita minta beliau sediakan dan kes ini masih lagi berjalan.
“Kali ini (siasatan) adalah berhubung dengan pengisytiharan hartanya, jadi ia memang akan mengambil masa sedikit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Antirasuah Asia Tenggara 2025: Recalling Jakarta Statment, di sini hari ini.
Azam berkata, adalah menjadi tanggungjawab pihak yang telah diberi notis untuk pengisytiharan harta menjelaskan puncanya untuk memuaskan hati SPRM sebagai agensi yang mengeluarkan notis berkenaan.
Katanya, pihak penyiasat mahu memastikan apakah yang diisytiharkan itu benar ataupun tidak menjadi satu kesalahan.
“Sekiranya pengesahan itu ada yang kita (didapati) pengisytiharan yang tidak benar ataupun tidak mencukupi,” katanya.
Sebelum ini, Ismail Sabri disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia ketika tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – KOSMO! ONLINE