KULIM – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) memperuntukkan kira-kira RM225,789 untuk menganjurkan Program Jelajah Jualan Kasih KEDA Madani 2025 di tujuh daerah di Kedah sejak tahun lalu.
Program Jualan Kasih KEDA Madani mula dirintiskan pada Januari tahun lalu di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Alor Setar dan diteruskan dengan siri jelajah di Pejabat KEDA Zon 4, Sik, Desa KEDA Singkir Badong, Yan dan Pejabat Bahagian Pembangunan Usahawan, Napoh, Jitra dalam daerah Kubang Pasu.
Inisiatif tersebut diteruskan pada tahun ini di Pejabat KEDA Zon 5, Baling pada Februari lalu diikuti di Dewan Pusat Kegiatan Ekonomi Kampung Guar Lobak di Padang Serai di sini semalam.
Lokasi seterusnya adalah di daerah Padang Terap yang dijangka diadakan sekitar bulan Jun atau Julai depan.
Pengerusi KEDA, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, KEDA menerusi Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) mengadakan jualan berkenaan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kedah.

“Kos keseluruhan bagi program yang diadakan di Kulim pada hari ini adalah sebanyak RM32,255.60,” katanya ketika ditemui pada Program Jelajah Jualan Kasih KEDA Madani 2025 di
Program Jelajah Jualan Kasih KEDA Madani 2025 di Dewan Pusat Kegiatan Ekonomi Kampung Guar Lobak di Padang Serai di sini.
Hadir sama ialah Pengurus Besar KEDA, Afifah Omar, Pengarah FAMA Kedah, Shaiful Azhar Zolkipli dan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Khairul Azmeer Abu Bakar.
Jamil Khir berkata, maklum balas yang diterima daripada orang ramai sangat baik kerana mereka berpeluang membeli barangan asas seperti beras, sayur-sayuran, buah-buahan, ikan segar, telur dan daging lembu tempatan pada harga berpatutan.

“Jualan ini membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat dengan jualan barangan keperluan rumah dengan potongan harga hampir 30 peratus,” ujar beliau.
Menurutnya, terdapat juga jualan barangan kering keluaran Agromas dan lebih 20 produk usahawan KEDA dan FAMA.
“Kita juga mengadakan jualan Combo Sale dan Happy Hour bagi memeriahkan lagi program pada hari ini,” jelasnya.
Tambah Jamil Khir, Jualan Kasih KEDA Madani yang telah memberi manfaat kepada lebih 30,000 orang sejak tahun lalu semakin dikenali ramai dan menjadi program yang dinanti-nantikan oleh masyarakat.
“Kira-kira 4,000 hingga 5,000 orang akan datang ke setiap Jualan Kasih KEDA Madani yang dianjurkan, ada yang sanggup datang dari jauh dengan membawa ahli keluarga dan rakan,” katanya. -KOSMO! ONLINE