Fenomena narsisisme digital dalam kalangan pengguna media sosial semakin membimbangkan apabila individu bergantung kepada pengiktirafan dalam talian untuk menentukan nilai diri dan identiti peribadi mereka.
Narsisisme digital merujuk kepada kecenderungan seseorang untuk menonjolkan diri secara berlebihan secara maya demi mendapatkan perhatian dan pengiktirafan.
Antara kelakuan itu termasuk memuat naik gambar swafoto berulang kali, memaparkan gaya hidup mewah atau memperagakan kejayaan secara keterlaluan.
Lebih membimbangkan, ia menjadi budaya yang dianggap ukuran harga diri apabila segala-galanya dinilai melalui bilangan likes, tontonan dan jumlah pengikut.
Menurut Profesor Ir. Dr. Noor Ismawati Jaafar dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Universiti Malaya, biarpun fenomena itu tidak dikategorikan sebagai gangguan mental secara rasmi, namun berpotensi memberi kesan serius terhadap kesejahteraan emosi dan hubungan sosial.
Katanya, perkara itu amat ketara dalam kalangan remaja dan belia yang terdedah kepada tekanan rakan sebaya dan pengaruh media digital.
“Remaja kini membina identiti mereka melalui media sosial. Mereka hanya menunjukkan sisi kehidupan yang indah dan sempurna, sambil menyembunyikan cabaran sebenar yang dihadapi.
“Perkara itu boleh memberi tekanan dalaman untuk sentiasa kelihatan hebat di mata orang lain,” katanya.
Beliau turut menekankan media sosial kini berperanan seperti ‘cermin moden’ dalam kehidupan kerana manusia cenderung mencipta naratif tentang diri sendiri yang diharapkan dapat diterima di Instagram dan TikTok.
Sifat algoritma media sosial yang menyokong kandungan sensasi dan tular turut menyumbang kepada kecenderungan itu sekali gus memberi tekanan kepada pengguna untuk terus mencipta imej yang ideal.
Bahkan, kajian menunjukkan ketagihan terhadap respons positif di media sosial boleh menyebabkan tekanan, keresahan, dan kemurungan apabila kandungan yang dimuat naik tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan.
Tegasnya, biarpun gejala itu sering dikaitkan dengan generasi muda, orang dewasa juga tidak terkecuali.
“Kita lihat ramai orang dewasa berkongsi pencapaian peribadi, kejayaan atau gaya hidup eksklusif. Ini bukan kesalahan, tapi dilakukan untuk mendapatkan pengesahan sosial,” ujarnya.
Menghapuskan penggunaan media sosial bukan penyelesaian, sebaliknya hubungan yang sihat dengan platform digital perlu dibina.
Antara langkah yang dicadangkan termasuk menilai semula niat ketika berkongsi kandungan, mengamalkan ‘detoks digital’, jujur dalam perkongsian dan elakkan perbandingan tidak realistik dengan kehidupan orang lain.
Beliau turut melihat perkembangan positif apabila makin ramai pencipta kandungan mula memaparkan sisi kehidupan lebih realistik menunjukkan perubahan budaya digital sedang berlaku.
“Ini membuktikan bahawa perubahan boleh berlaku jika wujud kesedaran kolektif. Kita perlu didik netizen supaya tidak terperangkap dalam budaya penilaian maya yang rapuh,” katanya.














