fbpx

65 orang asli berjaya ketepi perintah mahkamah penjualan kondominium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur- GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Seramai 65 Orang Asli suku kaum Jakun berjaya dalam permohonan mereka mengetepikan perintah mahkamah pada 2023 bagi penjualan 57 unit kondominium di Lanai Gurney, Keramat iaitu aset Tabung Amanah mereka oleh RHB Trustees Berhad.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Gan Techiong membuat keputusan itu selepas membenarkan saman pemula yang dikemukakan 65 orang asli itu selaku pemohon terhadap RHB Trustees Berhad yang merupakan pemegang amanah Linggiu Valley Orang Asli (Jakun) sebagai responden.

Dalam prosiding semalam itu, mahkamah turut memerintahkan sebarang penjualan dan pindah milik kesemua 57 unit kondominium yang dipegang di bawah hakmilik strata hendaklah dijual dengan harga nilai pasaran serta melalui tender terbuka atau lelongan awam.

Selain itu, mahkamah memerintahkan penjualan dan pindah milik kesemua 57 unit tersebut hendaklah dikendalikan oleh perunding-perunding bebas termasuk peguam, penilai serta ejen harta pusaka selain tiada perintah berkenaan kos.

Sementara itu peguam Rabia Abd Halim dibantu Siti Zabedah Kasim mewakili orang asli ketika dihubungi pemberita mengesahkan mengenai keputusan tersebut.

Pada 16 Julai 2024, seramai 65 orang asli yang memfailkan saman pemula pada 16 Julai 2024, memohon perintah tersebut atas alasan responden enggan, cuai dan gagal untuk memaklumkan kepada semua orang asli terbabit untuk menjual 57 unit kondomonium dan persetujuan tidak diperolehi daripada semua orang asli itu.

Pemohon-pemohon menyatakan perintah jualan bertarikh 20 Jun 2023 untuk penjualan 57 unit kondominium tidak dibuat secara adil selain terdapat unsur ketidakadilan kepada pemohon.

Katanya, menurut laporan penilaian hartanah tersebut harga pasaran agregat adalah RM17.1 juta, namun terdapat perjanjian antara pemegang amanah dan ejen hartanah bahawa harga penjualan dinaikkan kepada RM19 juta tetapi hanya RM12 juta diberikan kepada Tabung Amanah manakala RM7 juta juta akan digunakan sebagai kos pengubahsuaian.

“Sebanyak RM7 juta di mana baki duit diberikan ejen hartanah kononnya untuk mengubahsuai hartanah itu, sebaliknya ia percubaan untuk melucutkan hak Orang Asli,” kata pemohon-pemohon dalam alasan permohonan itu.

Menurut pemohon, penjualan 57 unit kondominium itu seharusnya dijalankan secara jualan lelongan awam atau tender terbuka dan dikawal selia oleh mahkamah, bukannya ejen hartanah persendirian memandangkan kondominium tersebut kepunyaan Tabung Amanah untuk manfaat Orang Asli. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI