SHAH ALAM – Kerajaan negeri mengambil serius berhubung trend peningkatan kes HIV dalam kalangan remaja dan belia di bawah 30 tahun yang kini menjadi golongan paling berisiko tinggi jangkitan HIV di negara ini.
Ia susulan pendedahan Majlis AIDS Malaysia (MAC) dengan kebanyakan kes baharu adalah dalam kalangan remaja lepasan sekolah dan universiti.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya dengan kerjasama daripada polis dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).
Katanya, setakat ini program berkaitannya dibuat Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
“Di bawah kerajaan negeri, tidak ada spesifik (tidak ada program khusus yang dijalankan). Namun, menerusi LPPKN ada program seperti Kafe Teen, yang mana program memberikan kesedaran kepada remaja mengenai HIV.
“Setakat ini, saya tidak mempunyai maklumat daerah mana di Selangor yang mempunyai jumlah jangkitan HIV yang tertinggi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Selangor Care Accelerator (XCARE) di sini hari ini.
Kosmo! kelmarin melaporkan Setiausaha Kehormat MAC, Dr. Zaiton Yahya dipetik berkata, trend
peningkatan kes HIV dalam kalangan remaja dan belia di bawah 30 tahun.
Walaupun kes berkaitan penggunaan dadah dan perkongsian jarum suntikan menunjukkan penurunan, namun sebaliknya bagi kes jangkitan melalui aktiviti seksual.
Dalam perkembangan sama, Anfaal memaklumkan pihaknya akan mendapatkan maklumat dan data termasuk melibatkan HIV dan dadah serta isu sosial daripada JKNS dan Polis Selangor.
“Ini supaya advokasi dan kesedaran awal dapat didedahkan kepada remaja mengenai bahayanya AIDS dan HIV,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE